Assalamu'alaykum dan salam sejahtera...
So, kali ni nak berkongsi lagi satu tazkirah ringkas, yang diberikan oleh seorang pakcik kepada saya. Tazkirah ini lebih kepada ujian kemewahan yang sering kali menjadikan manusia lebih lalai dan leka. dan kurang pengharapan kepada Allah s.w.t. Semoga kita mendapat manfaat dari tazkirah ringkas ini.
================================
Salam Jumaat -Penghulu Segala Hari
Perkongsian Ilmu Dari Al Quran
GOLONGAN YANG DILALAIKAN DENGAN KEMEWAHAN DAN KESENANGAN HIDUP
—————————————
Firman Allah Taala
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
Surah Al An’am 6:44 yang bermaksud
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).
(Ayat diatas telah ditadabbur dalam program My#QuranTime di TV Al Hijrah)
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Berikut adalah nota-nota tambahan :
1) Allah Swt menceritakan perihal sekumpulan manusia yang amat berjaya dalam hidupnya tetapi mereka berpaling dari petunjukNya.
Mereka ini berterusan mengabaikan perintah Allah Swt dan ajaran RasulNya .
2) Allah Swt akan menguji mereka dengan berbagai jenis kesenangan dan kemewahan hidup. Semua perniagaan yang diceburi amat berjaya dan mendapat keuntungan besar . Disamping itu mereka dianugerahkan jawatan tinggi , mendapat banyak bintang kebesaran dan dalam masa yang sama keadaan kesihatan mereka sangat baik dan tidak ditimpa sebarang penyakit.
3) Kesenangan yang diperolehi ini
menjadikan mereka golongan yang tidak bersyukur kepada Allah Swt. Pelbagai nikmat dunia yang diterima tidak mendidik mereka menjadi manusia yang tawaddu’ , malahan mereka menjadi angkuh dan makin ingkar terhadap perintah-perintah Allah . Ini menyebabkan hati mereka makin keras dan jauh dari mengingati Allah.
4) Keadaan mereka ini ibarat anak-anak yang dimanjakan oleh ibu bapa mereka yang mana segala apa yang diminta sentiasa ditunaikan dan tidak dihampakan.
5) Mereka ini terus menyangka bahawa kemewahan dan kesenangan itu sudah menjadi hak mereka . Tahap keingkaran mereka kepada Allah Swt makin meningkat dan mereka semakin angkuh dengan jawatan tinggi
dan kuasa yang dimiliki.
6) Sifat takabbur mereka itu menyebabkan Allah Swt menjadi murka kepada mereka. Akibatnya mereka ditimpa ujian secara tiba-tiba yang mana menyebabkan kekayaan yang mereka miliki hilang secara mengejut . Allah Swt juga mendatangkan ujian berbentuk bala bencana yang memusnahkan kekayaan mereka dalam masa sekelip mata sahaja. Mereka menjadi golongan yang berputus asa setelah semua kemewahan yang ada telah lenyap daripada mereka.
7) Mereka yang diuji ini adalah mereka yang lupa dengan kebesaran Allah Swt semasa mereka mendapat kemewahan , kesenangan dan kuasa yang dianugerahkan oleh Allah Swt.
Orang-orang beriman mestilah mengambil pelajaran bahawa
Allah Swt berkuasa mencuba mereka dalam berbagai bentuk ujian.
Adakalanya mereka tidak sedar bahawa kekuasaan dan kesenangan yang mereka miliki secara terus menerus itu adalah ujian besar dari Allah Swt.
Sesungguhnya Allah Swt mendatangkan cobaan untuk melihat sejauh mana kepatuhan mereka kepadaNya tatkala kemewahan itu datang mencurah-curah kepada mereka.
Ramai manusia tidak sedar bahawa ujian dalam bentuk kesenangan itu ada lah proses Istidraj yang sedang mereka lalui.
Bagi mereka yang dibukakan pintu hatinya untuk kembali kepada Allah Swt , mereka akan sedar keatas segala kesilapan yang mereka lakukan.
Bagi mereka yang tidak mahu kembali kepada Allah Swt , mereka akan terus menerus lalai dan makin kuat penolakan mereka kepada perintah-perintah Allah Swt.
Semoga perkongsian diatas dapat mengingatkan kita supaya menjadi golongan yang bersyukur
dengan setiap nikmat yang dikurniakan Allah Swt. Ingatlah lawan kepada syukur
adalah kufur kepada nikmat Allah Swt.
Wallahua’lam
Rujukan
Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 4
MBS
No comments:
Post a Comment