Friday, April 16, 2021

Review Buku: Kronikel One Piece - Sejarah Sebalik Manga

 Assalamu'alaykum,

So, bersambung pula dalam siri, #siribuku, atau #sirimembaca, kali ni nak bersembang pasal buku yang berkait dengan manga, iaitu buku:

Kronikel One Piece - Sejarah Sebalik Manga



Ok, Buku ni takdelah menceritakan sejarah One Piece, tapi menceritakan perkara yang lain, tapi masih berkaitan dengan manga One Piece. ok, mari kita review.... buku ini adalah karya Amir Zayyanid. Menariknya, nama Zayyanid ini juga ada diterangkan sedikit dalam bahagian-bahagian akhir buku ini. nak tahu? kena baca dan carilah!

Buku ini kiranya ada 3 bahagian penceritaan, pertamanya adalah sedikit latar belakang berkaitan apa itu lanun, dan definisi lanun, serta istilah-istilah lain yang berkait dengan lanun. Contohnya, ada perkataan privateer la, wokou, dan lain-lain (takleh cerita lebih, nanti spoil). Dan di mana istilah ini lanun ini digunakan. Dan istilah-istilah ini, ada digunakan dalam manga One Piece, 

Kemudian, buku ini mengisahkan pula sejarah "perlanunan" ini, terutama di kawasan United Kingdom, Lautan China Selatan, Lautan Korea-China-Jepun, dan lain-lain. Dan ini akan berkait juga dengan istilah-istilah lanun yang telah diterangkan terdahulu. Cumanya, sejarah kawasan perlanunan ini tidak banyak pula dikaitkan dengan manga One Piece. 

Bahagian akhir pula, menerangkan berkaitan lanun-lanun yang terkenal, dan ada dijadikan inspirasi dalam watak-watak manga One Piece. Law, Kids, Aurogon, dan beberapa nama watak One Piece, ada perkaitan dengan watak lanun sebenar ini. Bahagian ini menerangkan latar belakang lanun tersebut, dan sejarah yang menjadikan mereka terkenal. Ada yang terkenal kerana kekejamannya, ada terkenal sebab "memulakan" zaman lanun yang baru (persis Gold D Roger), ada yang terkenal sebagai pembantu kerajaan (persis Shicibukai), dan lain-lain. 

Secara asasnya, buku ini mengisahkan sedikit mendalam berkaitan lanun serta sejarahnya, dan dikaitkan dengan manga One Piece yang masih popular ketika ini. Menariknya, walaupun tidak mendalam, tapi masih boleh difahami, dan istilah yang digunakan juga adalah istilah yang mudah.

Yang saya kurang gemar, adalah seolah-olah buku ini pendek sangat. Tak puas baca, dah habis. hehe... sebenarnya bukanlah tidak gemar, lebih kepada tidak berpuas hati, sebab tak puas baca. Seronok sangat. 


Oklah, rasanya itu sahaja, untuk post kali ini, kita berjumpa lagi di masa akan datang... chiao~~~



regards

Friday, April 09, 2021

Tazkirah Ringkas: Elakkan dari menjadi orang zalim

Assalamu'alaykum

tazkirah hari ini, lebih kepada, berkaitan kaum-kaum yang menentang dakwah para Rasul. dan telah diazab oleh Allah s.w.t 

=====================

Assalamualaikum Wr Wb


Perkongsian Ilmu Dari Al-Quran


MENGAMBIL IBRAH DARI AL-QURAN  -

KAUM YANG MENENTANG DAKWAH PARA RASUL TELAH  DIAZAB   OLEH ALLAH SWT

———————————— 


Mukaddimah


Firman Allah Taala


وَكَم مِّن قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا فَجَاءَهَا بَأْسُنَا بَيَاتًا أَوْ هُمْ قَائِلُونَ


Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah hari.


فَمَا كَانَ دَعْوَاهُمْ إِذْ جَاءَهُم بَأْسُنَا إِلَّا أَن قَالُوا إِنَّا كُنَّا ظَالِمِينَ


Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata: "Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim".

Al-A’raf 7: 4-5



Allah Swt menurunkan al-Quran kepada Rasulullah Saw bukan sahaja  bertujuan memandu manusia kejalan hidayah mentauhidkanNya , malahan Kitab Suci ini penuh dengan kisah-kisah umat terdahulu yang boleh dijadikan pengajaran bagi umat terkemudian termasuk umat Nabi Muhammad Saw .


Salah satu  perkara  yang sering diulang-ulang dalam al-Quran adalah kisah  perjuangan para Rasul dan Nabi Allah . 

Para Utusan  Allah ini diceritakan  telah menerima berbagai tentangan semasa menjalankan dakwah mereka  kepada umat pada masa mereka.

Ada dari para Rasul  itu dihina  , diusir keluar dari tempatnya dan ada yang diancam untuk dibunuh oleh kaumnya.


Dalam surah Al-A’raf , Allah Swt telah menceritakan kepada Nabi Saw dan para sahabah  baginda  diMakkah mengenai kisah perjuangan Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi Hud, Nabi Saleh, Nabi Syuaib dan juga Nabi Musa A.s . Semua Rasul yang mulia  itu  telah menghadapi berbagai tentangan  hebat dari kaum mereka yang menolak ajaran supaya menyembah  kepada Tuhan Yang Esa dan meninggalkan  segala sembahan kepercayaan nenek moyang mereka. 

 Kepada semua mereka yang menentang dakwah para Rasul dan  juga menzalimi para pengikut  mereka , Allah Swt telah mendatangkan berbagai azab keatas mereka yang zalim itu.


Berikut adalah diantara ujian yang dihadapi oleh para Rasul berkenaan:-


1) Zaman Nabi Nuh 


Allah Swt telah  datangkan  azab banjir besar yang menenggelamkan mereka  yang menentang dakwah baginda.

Perkara ini disebutkan dalam ayat  berikut ini


فَكَذَّبُوهُ فَأَنجَيْنَاهُ وَالَّذِينَ مَعَهُ فِي الْفُلْكِ وَأَغْرَقْنَا الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا عَمِينَ


Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran)

Al-A’raf 7:64


2) Zaman Nabi Hud


Allah telah mengazab mereka dengan kemusnahan  yang dahsyat seperti yang diceritakan oleh ayat berikut ini


فَأَنجَيْنَاهُ وَالَّذِينَ مَعَهُ بِرَحْمَةٍ مِّنَّا وَقَطَعْنَا دَابِرَ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَمَا كَانُوا مُؤْمِنِينَ


Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat dari Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.

Al-A’raf 7:72


3) Zaman  Nabi Saleh


Kaum Nabi Saleh yang menolak dakwah baginda dan melakukan berbagai kejahatan , Allah telah menurunkan azab yang berikut ini:


فَأَخَذَتْهُمُ الرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا فِي دَارِهِمْ جَاثِمِينَ


Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

Al-A’raf 7:78


4) Zaman  Nabi Lut


Kaum Nabi Lut  bukan sahaja menolak dakwah baginda malahan  mereka telah melakukan hubungan seks yang terkutuk. Allah Swt telah mendatang azab kepada mereka seperti diceritakan oleh ayat berikut ini


وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ


Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

Al-A’raf 7:84


5) Zaman Nabi Syuaib


Mereka ini terdiri dari mereka yang menolak ajaran baginda dan melakukan berbagai kerja mungkar  dan penindasan kepada  penduduk Madyan secara berluasa. Allah Swt telah menurunkan azab kepada mereka melalui ayat berikut ini 


فَأَخَذَتْهُمُ الرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا فِي دَارِهِمْ جَاثِمِينَ


Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.

Al-A’raf 7:91


6) Zaman Nabi Musa


Kepada kaum Nabi Musa dibumi Masir  yang diketuai oleh Firaun yang zalim , Allah Swt telah menurunkan berbagai azab secara berperingkat seperti yang dijelaskan oleh ayat-ayat berikut ini


وَلَقَدْ أَخَذْنَا آلَ فِرْعَوْنَ بِالسِّنِينَ وَنَقْصٍ مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ


Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.

Al-A’raf 7:130


فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الطُّوفَانَ وَالْجَرَادَ وَالْقُمَّلَ وَالضَّفَادِعَ وَالدَّمَ آيَاتٍ مُّفَصَّلَاتٍ فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ


(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Al-A’raf 7:133


فَانتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَأَغْرَقْنَاهُمْ فِي الْيَمِّ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَكَانُوا عَنْهَا غَافِلِينَ


Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.

Al-A’raf 7:136


Kesimpulan nya


Demikian balasan Allah Swt keatas umat-umat  terdahulu yang menentang seruan para Rasul supaya menyembah Allah tetapi sebaliknya mereka menderhaka kepadaNya dan melakukan kezaliman dan penindasan kepada kaum mereka.


Mereka yang menentang ajaran Nabi Muhammad Saw dan melakukan berbagai kezaliman , penindasan, penyelewengan dan kemungkaran pada zaman baginda diMakkah kebanyakannya telah dimusnahkan dalam Perang Badar  dan peperangan lain berikutnya.


Bagaimana pula  dengan umat Nabi Muhammad dizaman mutakhir ini ? Apakah mereka  yang zalim dan menderhaka kepada perintah Allah dan RasulNya itu  tidak menerima sebarang hukuman dari Allah Swt?


Bersamalah kita fikirkan apakah Allah Swt akan membiarkan sahaja segala bentuk kezaliman para pembesar keatas umat Islam pada hari ini?


Sebagai amaran , Rasulullah Saw telah membacakan firman  Allah Swt berikut ini pada 1,400 tahun yang lalu:


إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي 

الْمُجْرِمِينَ


Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh takabbur  (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.

Al-A’raf 7:40


Semoga kisah-kisah diatas mendatang ibrah yang bermanfaat kepada kita semua.


Wallahua’lam


Catatan:

Ayat-ayat  dari surah Al-A’raf diatas telahpun ditadabburkan  dalam MyQuranTime di TV Al Hijrah


MBS


Sampaikanlah daripada ku walaupun satu ayat   - Maksud Hadis

Friday, April 02, 2021

Drama Perut: Ghost Pepper Spicy Chicken

 Assalamu'alaykum dan berjumpa lagi!!


wah wah... kali ni mencuba makanan yang pedas melampau!!~~~ fuhhhhhh..... iaitu: 

Ghost Pepper Noodles!
Flaming Spicy Chicken Noodle!



Sejujurnya, sebenarnya tak berani nak makan ni, sebab tau sangaaaatttt pedas..... ok, when i mean sangat pedassss..... ianya betul-betul sangaatttttttt pedasssssss!!!!!~~~~~

akan tetapi, rasanya sangat sedap, kalau kena cara masak, mee dia akan lembut, dan perasanya mudah diserap dalam mee. 

perasaan pertama buka bekas mee ni, adalah "menakutkan"!! warna mee yang gelap, menunjukkan something "big" going to happen. macam rasa tenang sebelum taufan gitu....

then bila mula makan, kita akan rasa sedapnya perasanya, dan mee dia juga enak. dan tiba2 rasa pedas tu akan mula menyengat!! ye, menyengat!! dan bila disambung suapan ke dua, ke tiga, rasa sengatan pedas itu berterusan.... hinggalah ke akhir suapan...

dan ianya tidak berakhir setakat itu, tahap pedas yang tinggi juga menyebabkan habis muka berpeluh-peluh, habis berjurai... dan mulut rasa terbakar.... walaupun saya meminum air kosong, lega kejap... tapi tak hilang, terpaksa mencari dan makan coklat, hilang kejap.... namun belum hilang sepenuhnya. minum susu, pun kejap je lega dan pedasnya tak hilang.... dan akhirnya buka pili air di sinki, dan lalukan air tu kat dalam mulut, barulah sedikit lega...

so, kiranya bila dikatakan ianya "ghost pepper" iaitu cili yang paling pedas di bumi, ianya mencapai tahap yang dijanjikan!


jadi, sekiranya anda peminat makanan pedas, anda boleh cuba, tapi disclaimer, saya tak galakkan ye... makan atas tanggungjawab sendiri. saya tidak bertanggungjawab atas apa yang jadi selepas itu...


ok, itu sahaja untuk drama perut kali ini.. dan perut pula meragam selepas makan, walaupun sudah malam hari, saya makan waktu2 lunch... perut meragam... fuhhhhhhhh


jumpa lagi~~!!

Friday, March 26, 2021

Puisi Ketot: Ujian ketabahan menuju kejayaan

Ujian ketabahan menuju kejayaan



ujian
musibah
kesusahan
keperitan

sering terjadi dalam hidup kita
ada ujian yang perit
ada ujian yang pedih
ada ujian yang sukar
ada ujian tak nampak jalan keluar

namun, ujian tetap ujian
untuk kita tingkat ketabahan
untuk terus maju ke depan
untuk terus menuju kejayaan...

jangan berputus asa
jangan hanya bersedih hati
jangan pula terlebih fikir
jangan lihat negatif saja

bangkit 10 kali, kalau jatuh 9 kali
berjalanlah jika tidak mampu berlari
merangkak bila tidak mampu berdiri
mengesotlah jika tidak mampu terduduk

teruskan usaha walau perit
usahalah walau sedikit
atau sedikit dari sedikit
walaupun terlalu sedikit

teruslah maju dan maju
usaha dan terus usaha
doa dan terus berdoa
dan akhirnya tawakal hanya kepadaNya...

semoga ada cahaya sinar,
sinar bercahaya dihujung sana,
sinar memberi harapan,
sinar pemberi makna kehidupan...

Friday, March 19, 2021

Review Buku: Sang Penguasa

 


Assalamu'alaykum dan salam sejahtera

ok, kini kita kembali kepada siribuku, iaitu review buku. kali ni nak bercerita tentang buku yang menarik bagi peminat-peminat politik, dan even ahli politik sendiri pun. Buku ini adalah asalnya karya Nicollo Machiavelli, dan buku ini diterjemahkan oleh saudara Zamir Mohyedin, dengan syarahan dan ulasan oleh saudara Ayman Rashdan Wong, yang bertajuk:

Sang Penguasa (The Prince)

Ok, buku ini adalah karya Machiavelli, dan di dalamnya, Machiavelli merangkumkan, serta merumuskan bagaimana seorang pemerintah patut buat secara "real-politik", dan tidak berharap yang indah-indah, atau mengharap kepada teori yang tidak dibumikan. Ini kerana, real-politic berbeza dengan kefahaman dan teori kepimpinan yang baik, kerana ada unsur-unsur tidak bermoral dan tidak beretika dalam "real-politic"

disclaimer, sebenarnya Machiavelli bukannya "mengajar", tetapi menerangkan keadaan pemerintah berdasarkan sejarah dan kefahamannya berkaitan bagaimana seorang pemerintah boleh kekal berkuasa. 

Buku ini ada beberapa bahagian. Tetapi secara dasarnya, ia menerangkan 3 intipati penting. pertamanya adalah jenis-jenis kerajaan yang ada (pada ketika itu), keduanya berkenaan pemerintah, dan ketiganya adalah apa yang pemerintah perlu laksanakan, untuk berkuasa, dan kekal berkuasa. 


Intipati Pertama: Kerajaan dan jenisnya

Ok, intipati pertama, iaitu jenis-jenis kerajaan. dalam buku ini, Machivelli menerangkan ada 4 jenis kerajaan. Pada awalnya, penulis menyatakan ada 2 jenis kerajaan, iaitu kerajaan monarki dan republik. kemudiannya penulis menambah kerajaan agama (ketika itu kerajaan Pope)  dan kerajaan demokrasi (kerajaan rakyat) pada bab-bab lain. Selain itu, penulis juga menegaskan berkenaan kerajaan yang baru, tidak kira dari mana-mana jenis kerajaan, perlu pemerintah yang baik, untuk terus berkuasa.

Antara cara mempertahankan penguasaan bagi pemerintah baru, berdasarkan sejarah yang dikaitkan dalam buku ini, adalah, pemerintah baru, perlu membuat beberapa perkara, antaranya menghapuskan seluruh kerabat atau penguasa yang lama, perlu menghantar pasukan koloni ke daerah-daerah baru dikuasai, bekerjasama dengan pemerintah (menteri2) daripada kerajaan lama, atau kawasan koloni mereka, dan juga memastikan "wakil" atau "penguasa" koloni tidak mempunyai lebih pengaruh berbanding dirinya. 


Intipati kedua: Penguasa

Seterusnya, penulis banyak menerangkan berkenaan pemerintah. Kebiasaannya, pemerintah yang baik, memerlukan kepada 2 perkara penting, iaitu virtu dan fortuna. Virtu adalah kecekapan/kemahiran memerintah, manakala fortuna pula adalah tuah. Tanpa kedua-dua perkara ini, sukar pemerintah untuk mendapat kekuasaan, dan kekal berkuasa. Tanpa tuah, walaupun cekap, kita mungkin dikalahkan oleh mereka yang mempunyai lebih tuah. Dengan tuah, tetapi tidak cekap, kita juga tidak akan kekal, dan akan dijatuhkan oleh orang lain, malah orang terdekat dengan kita.

Selain itu, penulis juga menyatakan bahawa, untuk pemerintah kekal lama, dia perlu mempunyai angkatan tentera yang kuat. Lebih-lebih lagi angkatan tentera sendiri. Selain angkatan tentera sendiri, pemerintah boleh juga mendapatkan beberapa jenis tentera yang lain, antaranya adalah tentera bantuan (dari kerajaan lain), dan tentera upahan (mengupah tentera dari pihak berkecuali). Akan tetapi, tentera jenis kedua-dua ini, mempunyai risiko yang lebih besar, yang mana tentera bantuan dan tentera upahan boleh berpaling tadah, jika pemerintah lain memberikan "arahan" atau ganjaran yang lebih baik. 

Selain itu, berkaitan dengan tentera, pemerintah juga tidak boleh bersikap neutral sekiranya dua negara lain berperang, kerana jika bersikap neutral, mana2 pihak menang dan kalah boleh menyerang pula negaranya. Jika pemerintah menyokong salah satu pihak, dan pihak itu menang, dia akan peroleh kebaikan, dan jika kalah pun, dia tetap akan dibantu oleh pihak yang kalah di masa akan datang. 


Intipati ketiga: apa Penguasa perlu buat

Penulis seterusnya menerangkan apa yang pemerintah perlu ada. Penulis menegaskan yang penguasa ini perlu sentiasa bersedia, perlu ada ilmu ketenteraan, dan sentiasa berlatih. Penguasa juga jangan terlalu idealistik, dan perlu melihat secara realistik. Contoh yang diberikan idealistik adalah idea Plato, atau Aristotle, yang menerangkan bagaimana kerajaan itu adalah kerajaan ideal. akan tetapi, pada hemat Machiavelli, penguasa perlu lebih realistik, dan melihat keadaan, tempat dan masa semasa. 

Machiavelli melihat idealistik vs realistik ini dalam beberapa sudut:

1. baik atau kejam? 
Penguasa perlu berbaik dengan rakyat, atau perlu kejam sekali sekala? atau perlu tunjuk yang dia boleh berlaku kejam sekiranya rakyat tidak mendengar kata/

2. Adil atau tidak adil sepenuhnya?
Pemerintah perlu bersifat adil, dan kadangkala perlu melebihkan satu pihak yang lain. kebiasaannya antara rakyat dan bangsawan. Bila bertemu antara keduanya, penguasa perlu lebihkan sedikit bangsawan, berbanding rakyat. Namun bergantung kepada keadaan dan masa.

3. Pemurah atau kedekut?
Penguasa perlu mengimbangi antara bersikap pemurah kepada rakyat, atau perlu kedekut kepada rakyat, akan tetapi akan memberikan manfaat jangka panjang. Bantuan, duit kepada rakyat perlu diberikan sekali sekala, akan tetapi tidak berterusan, agar duit/bajet itu boleh digunakan untuk kembangkan lagi ekonomi yang lebih besar, atau dalam buku ini, penulis menyebutkan untuk lebihkan dana kempen ketenteraan untuk besarkan kerajaan, dan mendapat lebih banyak cukai lagi.

4. dicintai atau ditakuti?
Penguasa juga perlu bersifat dicintai dan ditakuti oleh rakyat. Dicintai dengan perbuatan-perbuatan baik yang dilakukan kepada rakyat, dan ditakuti agar rakyat tidak melanggar peraturan sehingga membuatkan revolusi atau pemberontakan. Penguasa perlu seimbangkan antara kedua-dua ini. Akan tetapi, jika tidak boleh mengimbangi kedua-dua ini (dicintai dan ditakuti), maka penguasa lebih baik ditakuti, agar lebih banyak keseimbangan dan perkembangan boleh dicapai. Machivelli menegaskan juga, untuk dicintai rakyat, jangan menyentuh harta atau wanita rakyatnya. ini penting bagi mengelakkan revolusi rakyat.

5. menepati janji atau tidak?
Perkara penting terakhir yang dibincangkan oleh Machiavelli adalah, samada penguasa perlu menepati janji atau tidak? Ini terbahagi kepada 2 konteks, satu konteks kerjasama dengan penguasa lain, satu lagi dengan rakyat. Penguasa tidak perlu terlalu naif, dan menepati janji dengan sekutu yang berpaling, kerana sekutu itu sendiri telah tidak menepati janjinya. Oleh itu, penguasa perlu sentiasa berhati-hati dan menyeimbangkan antara menepati janji atau tidak.

Selain penguasa perlu bersifat realistik dan tidak idealistik semata-mata, Machiavelli juga menyatakan penguasa perlu juga bersifat licik seperti musang, dan berani seperti singa. Licik dalam merancang dan melaksanakan pelbagai perkara, agar sentiasa bersedia dengan pihak pembangkang, atau penguasa lain (serangan luaran). Selain itu, penguasa perlu juga bersifat berani seperti singa, dengan menunjukkan siapa yang berkuasa, agar tidak ditikam dari belakang oleh menteri atau rakan-rakan sendiri (serangan dalaman). 

Machiavelli juga menerangkan berkenaan bagaimana untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat yang terdiri daripada rakyat biasa, dan golongan bangsawan. Sokongan daripada rakyat perlu dijaga, supaya penguasa disayangi rakyat. Machievelli menegaskan untuk Penguasa tidak sekali-kali menyentuh harta dan wanita rakyatnya, dan perlu bertindak tegas dengan rakyat biasa, serta mendapatkan sokongan daripada golongan bangsawan. 

Machievelli juga menyatakan antara perkara yang boleh dijadikan asas untuk mendapat sokongan, adalah dengan menunggang agama. Menunggang agama dapat dijadikan sebagai kaedah untuk mendapat reputasi yang baik daripada rakyat biasa. 

Machieveli seterusnya menyatakan untuk penguasa bijak dan cekap (Virtu) dalam memilih barisan menterinya. Penguasa perlu melantik menteri yang pandai melaksanakan tugas, sentiasa memikirkan kepentingan penguasa, dan tidak melebihkan kepentingan peribadi (kepentingan menteri sendiri). Sekiranya Penguasa membiarkan menteri mendapat lebih sokongan, ada kemungkinan menteri itu akan menjatuhkannya di kemudian hari. Selain itu, Penguasa juga memerlukan pendapat dan idea dari menterinya, tapi bukan pada setiap masa. dan Penguasa juga tidak perlu mengikut nasihat yang diberikan, dengan membuat keputusan sendiri. Penguasa perlu bijak memilih keadaan, agar menterinya tahu bila masa boleh memberi pendapat, dan bila masa tidak perlu memberikan pendapat

Akhir bab daripada buku ini, Machievelli mengharapkan agar Itali dapat bersatu, dan bebas dari penjajahan bangsa lain. 


======================================

Seterusnya, bila review, kita akan melihat apa yang saya personally suka, dan tidak suka. Yang saya kurang gemar, adalah ayat2 dalam terjemahan secara terus oleh saudara Zamir, agak sukar difahami. Sebab ianya perlu diterjemahkan dengan baik, serta tidak menghilangkan nilai-nilai dan isi sebenar buku The Prince versi asal. Mungkin disebabkan gaya bahasa zaman dahulu, jadi ianya lebih bersastera dan tidak boleh difahami secara terus. 

dan ini membawa kepada apa yang saya suka, iaitu syarahan dan penerangan secara ringkas oleh Saudara Ayman. Syarahan yang ditulis, dapat merumuskan, dan meningkatkan kefahaman daripada terjemahan yang telah dibuat. Lebih-lebih lagi, saudara Ayman juga memahami berkenaan Perhubungan Antarabangsa (International Relationship), jadi lebih mudah dia mengaitkan antara perkara yang terjadi dengan isu yang diketengahkan. 


ok, rasanya itu sahaja kot, apa yang boleh di-riview daripada pembacaan saya. Mungkin ada yang terlari sikit, sebab saya orang luar bidang, kalau betul Alhamdulillah. kalau tersilap, maafkan jela...


ok itu sahaja, kita jumpa lagi dalam post akan datang!


regards

Friday, March 12, 2021

Tazkirah Ringkas: Doa Orang Soleh mengangkat musibah

 Assalamu'alaykum 

Hari ni, nak berkongsi tazkirah sedikit, berkenaan supaya kita cuba memohon doa dari orang-orang soleh, untuk menghentikan musibah yang berlaku. dan ketika ini, musibah dan ujian pandemik Covid-19.


==================================

Assalamualaikum Wr Wb


Perkongsian Ilmu Dari Al-Quran


PARA PEMBESAR NEGERI MEMINTA ORANG-ORANG  SOLEH BERDOA AGAR ALLAH  MENGHENTIKAN MUSIBAH YANG BERLAKU

—————————————


Firman Allah Taala telah berfirman dalam surah Al-A’raf dari ayat 133 hingga 135 seperti berikut:


فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الطُّوفَانَ وَالْجَرَادَ وَالْقُمَّلَ وَالضَّفَادِعَ وَالدَّمَ آيَاتٍ مُّفَصَّلَاتٍ فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ


(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Ayat 133


وَلَمَّا وَقَعَ عَلَيْهِمُ الرِّجْزُ قَالُوا يَا مُوسَى ادْعُ لَنَا رَبَّكَ بِمَا عَهِدَ عِندَكَ لَئِن كَشَفْتَ عَنَّا الرِّجْزَ لَنُؤْمِنَنَّ لَكَ وَلَنُرْسِلَنَّ مَعَكَ بَنِي إِسْرَائِيلَ


Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: "Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu".

Ayat 134


فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُمُ الرِّجْزَ إِلَىٰ أَجَلٍ هُم بَالِغُوهُ إِذَا هُمْ يَنكُثُونَ


(Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya

Ayat 135


Ayat-ayat diatas telah ditadabbur

dalam program My#QuranTime

diTV Al-Hijrah 


         ^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah beberapa nota tambahan:


1) Dalam misi berdakwah kepada Firaun dan para pembesarnya , Nabi Musa dan Nabi Harun A.s telah berdepan  tentangan kuat dari Firaun dan pembesarnya.


Cabaran yang terbesar sekali adalah sifat sombong Firaun yang mengaku dirinya hebat sehinggakan dia sanggup mengaku dirinya  adalah tuhan. Hal ini disebutkan Allah dalam ayat berikut:


فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَىٰ


Dengan berkata: "Akulah tuhan kamu, yang tertinggi".

An-Nazi’at   79 : 24


2) Firaun menganggap Nabi Musa adalah  seorang ahli sihir yang  yang bertujuan untuk merampas  kekuasaan Firaun  dan seterusnya membebaskan kaum Bani Israel yang telah menjadi hamba abdi kepada kerajaan Firaun sekian lama.


Firaun mencabar  Nabi Musa berlawan sihir dengan ahli-ahli  sihir yang terhebat diMasir.

Dengan kebesaran Allah , Nabi Musa telah diberikan mukjizat besar bilamana tongkat yang dilemparkan baginda  berubah menjadi ular  besar dan menelan semua ular ahli-ahli sihir .

Ahli-ahli sihir Firaun telah bersujud dan menyatakan keimanan  mereka kepada Tuhannya Nabi Musa dan Harun.

Ekoran dari peristiwa ini Firaun jadi marah dan menyiksa ahli-ahli sihir tersebut.


3) Akibat dari kezaliman Firaun dan para pembesarnya  ini , Allah  Swt telah menurunkan bala’ kepada  mereka  dengan ditimpakan musim  kemarau panjang  yang menjejaskan sumbir makanan dan buahan dibumi Masir. 

Tujuan diturunkan bala’ adalah supaya mereka insaf.  Namun apabila keadaan dipulihkan Allah Swt  dan    mereka menjadi 

 senang semula, mereka mengatakan semua kesenangan  itu adalah hasil usaha mereka semata-mata. Bahkan mereka menuduh bala’ yang menimpa mereka sebelum  itu adalah disebabkan oleh nasib malang Nabi Musa dan para pengikutnya.

Firaun  dengan bongkaknya masih tetap enggan beriman kepada Allah Swt.


4) Allah Swt terus mendatangkan berbagai   bencana  satu demi satu kepada bumi Masir iaitu dimulai dengan taufan (dan banjir besar) yang diikuti dengan wabak penyakit. Kemudian diikuti dengan serangan belalang yang merosakkan tanaman, kutu-kutu yang muncul dalam  setiap makanan mereka,  kemudian diikuti oleh munculnya katak-katak memasuki istana dan rumah mereka. Akhir sekali ialah sumbir air mereka berubah menjadi darah yang sangat menjijikkan .


5) Firaun dan para pembesar menjadi kumpulan yang sangat kecewa dan  putus-asa. Diceritakan  bahawa setelah berlakunya setiap musibah itu , Firaun meminta  Nabi Musa  berdoa kepada Allah Swt agar  memulihkan keadaan kepada sediakala. Bahkan setiap kali menemui Nabi Musa,  Firaun berjanji sekiranya musibah yang berlaku itu dipulihkan , dia hendak beriman kepada Allah dan membebaskan Bani Israel dari perhambaan dan  mereka boleh pergi bersama Nabi Musa dan Harun. Sesungguhnya Firaun itu sedar  dan percaya bahawa hanya doa Nabi Musa  sahaja yang diperkenankan Tuhan.


6) Setelah Allah menghapuskan semua azab yang dialami mereka itu , tiba-tiba Firaun memungkiri semua janjinya. Beliau bukan saja  tidak mahu beriman , bahkan Nabi Musa terus  dimusuhinya dan Bani Israel masih dijadikan hamba abdi mereka.


7) Akhirnya Allah Swt membalas mereka dengan menenggelamkan mereka dilaut oleh sebab mereka zalim , lalai dengan kemewahan dan mendustakan seruan dakwah Nabi Musa dan Harun.


8) Kesimpulannya

Dari apa yang dikisahkan diatas adalah amat terserlah sekali sikap takabbur Firaun kepada Allah Swt  . Beliau bukan sahaja tidak mahu beriman kepada Tuhan , malahan beliau sendiri mengaku menjadi tuhan  yang berkuasa melakukan apa saja termasuklah menzalimi  Nabi Musa dan kaum Bani Israel.

Walau bagaimana  sombongnya Firaun itu, beliau masih tidak dapat menghindarkan diri dan kaumnya dari azab Allah Swt.

Akhirnya raja yang bongkak itu terpaksa meminta pertolongan kepada orang-orang soleh seperti Nabi Musa dan Harun untuk  berdoa kepada Allah Swt supaya semua azab yang menimpa mereka dipulihkan. 

Inilah keadaan yang berlaku dari dahulu sehingga kehari ini iaitu apabila sesuatu negeri itu ditimpa musibah besar seperti pandemik penyakit ,  maka para pemimpin meminta orang-orang yang soleh dan rakyat jelata berdoa  supaya musibah atau penyakit itu dipulihkan oleh Allah Swt. 

Biasanya manusia yang  angkuh dan sombong itu hanya ingat kepada Tuhan tatkala mereka dilanda musibah .

Setelah semua musibah itu diangkat dan keadaan negeri  mereka menjadi mewah dan  senang , mereka itu terutama para pemimpin negeri  kembali lalai dan terus membiarkan perkara-perkara yang ditegah Allah Swt  contohnya arak, judi , zina dan maksiat lainnya berluasa dalam negeri.


Semoga perkongsian ini memberikan pengajaran dan iktibar kepada kita umat  Islam masa kini supaya sentiasa bertawaddu’ kepada  kebesaran Illahi  dan mematuhi semua perintahNya.


Wallahua’lam


Rujukan

Tafsir Al-Maraghiy -Jilid 5


MBS

Sampaikanlah daripada ku walaupun satu ayat.  Maksud Hadis

Friday, March 05, 2021

Drama Perut: Aiskrim Mars

 Assalamu'alaykum,


loh, kembali dengan siri drama perut, kali ni nak sembang pasal aiskrim Mars ni. mungkin korang ada yang dah makan, but it's ok...

Aiskrim ni asal daripada coklat Mars yang biasa korang makan tu, yang sangat-sangat manis tu, dan terasa kepekatannya. Tapi untuk aiskrim ni, ianya lebih "lite", atau kurang rasa manis, dan isi dalamnya lebih lembut, dan tidak terlalu keras macam coklatnya. jadi ianya lebih enak dan sedap dinikmati. 

Coklat luarnya masih sedikit keras, tapi masih enak. lembut berbanding coklat Mars yang biasa...

so, kalau korang ada masa, dan jumpa aiskrim ni, bolehlah cuba lagi...


jumpa lagi!





Aku, dulu

 Aku dulu, megah dan riak megahnya ilmu kononnya banyak riak dengan amalan, yang terasa begitu banyak Aku dulu, meremeh, meleceh meremeh ilm...