Friday, March 12, 2021

Tazkirah Ringkas: Doa Orang Soleh mengangkat musibah

 Assalamu'alaykum 

Hari ni, nak berkongsi tazkirah sedikit, berkenaan supaya kita cuba memohon doa dari orang-orang soleh, untuk menghentikan musibah yang berlaku. dan ketika ini, musibah dan ujian pandemik Covid-19.


==================================

Assalamualaikum Wr Wb


Perkongsian Ilmu Dari Al-Quran


PARA PEMBESAR NEGERI MEMINTA ORANG-ORANG  SOLEH BERDOA AGAR ALLAH  MENGHENTIKAN MUSIBAH YANG BERLAKU

—————————————


Firman Allah Taala telah berfirman dalam surah Al-A’raf dari ayat 133 hingga 135 seperti berikut:


فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الطُّوفَانَ وَالْجَرَادَ وَالْقُمَّلَ وَالضَّفَادِعَ وَالدَّمَ آيَاتٍ مُّفَصَّلَاتٍ فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ


(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Ayat 133


وَلَمَّا وَقَعَ عَلَيْهِمُ الرِّجْزُ قَالُوا يَا مُوسَى ادْعُ لَنَا رَبَّكَ بِمَا عَهِدَ عِندَكَ لَئِن كَشَفْتَ عَنَّا الرِّجْزَ لَنُؤْمِنَنَّ لَكَ وَلَنُرْسِلَنَّ مَعَكَ بَنِي إِسْرَائِيلَ


Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: "Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu".

Ayat 134


فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُمُ الرِّجْزَ إِلَىٰ أَجَلٍ هُم بَالِغُوهُ إِذَا هُمْ يَنكُثُونَ


(Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya

Ayat 135


Ayat-ayat diatas telah ditadabbur

dalam program My#QuranTime

diTV Al-Hijrah 


         ^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah beberapa nota tambahan:


1) Dalam misi berdakwah kepada Firaun dan para pembesarnya , Nabi Musa dan Nabi Harun A.s telah berdepan  tentangan kuat dari Firaun dan pembesarnya.


Cabaran yang terbesar sekali adalah sifat sombong Firaun yang mengaku dirinya hebat sehinggakan dia sanggup mengaku dirinya  adalah tuhan. Hal ini disebutkan Allah dalam ayat berikut:


فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَىٰ


Dengan berkata: "Akulah tuhan kamu, yang tertinggi".

An-Nazi’at   79 : 24


2) Firaun menganggap Nabi Musa adalah  seorang ahli sihir yang  yang bertujuan untuk merampas  kekuasaan Firaun  dan seterusnya membebaskan kaum Bani Israel yang telah menjadi hamba abdi kepada kerajaan Firaun sekian lama.


Firaun mencabar  Nabi Musa berlawan sihir dengan ahli-ahli  sihir yang terhebat diMasir.

Dengan kebesaran Allah , Nabi Musa telah diberikan mukjizat besar bilamana tongkat yang dilemparkan baginda  berubah menjadi ular  besar dan menelan semua ular ahli-ahli sihir .

Ahli-ahli sihir Firaun telah bersujud dan menyatakan keimanan  mereka kepada Tuhannya Nabi Musa dan Harun.

Ekoran dari peristiwa ini Firaun jadi marah dan menyiksa ahli-ahli sihir tersebut.


3) Akibat dari kezaliman Firaun dan para pembesarnya  ini , Allah  Swt telah menurunkan bala’ kepada  mereka  dengan ditimpakan musim  kemarau panjang  yang menjejaskan sumbir makanan dan buahan dibumi Masir. 

Tujuan diturunkan bala’ adalah supaya mereka insaf.  Namun apabila keadaan dipulihkan Allah Swt  dan    mereka menjadi 

 senang semula, mereka mengatakan semua kesenangan  itu adalah hasil usaha mereka semata-mata. Bahkan mereka menuduh bala’ yang menimpa mereka sebelum  itu adalah disebabkan oleh nasib malang Nabi Musa dan para pengikutnya.

Firaun  dengan bongkaknya masih tetap enggan beriman kepada Allah Swt.


4) Allah Swt terus mendatangkan berbagai   bencana  satu demi satu kepada bumi Masir iaitu dimulai dengan taufan (dan banjir besar) yang diikuti dengan wabak penyakit. Kemudian diikuti dengan serangan belalang yang merosakkan tanaman, kutu-kutu yang muncul dalam  setiap makanan mereka,  kemudian diikuti oleh munculnya katak-katak memasuki istana dan rumah mereka. Akhir sekali ialah sumbir air mereka berubah menjadi darah yang sangat menjijikkan .


5) Firaun dan para pembesar menjadi kumpulan yang sangat kecewa dan  putus-asa. Diceritakan  bahawa setelah berlakunya setiap musibah itu , Firaun meminta  Nabi Musa  berdoa kepada Allah Swt agar  memulihkan keadaan kepada sediakala. Bahkan setiap kali menemui Nabi Musa,  Firaun berjanji sekiranya musibah yang berlaku itu dipulihkan , dia hendak beriman kepada Allah dan membebaskan Bani Israel dari perhambaan dan  mereka boleh pergi bersama Nabi Musa dan Harun. Sesungguhnya Firaun itu sedar  dan percaya bahawa hanya doa Nabi Musa  sahaja yang diperkenankan Tuhan.


6) Setelah Allah menghapuskan semua azab yang dialami mereka itu , tiba-tiba Firaun memungkiri semua janjinya. Beliau bukan saja  tidak mahu beriman , bahkan Nabi Musa terus  dimusuhinya dan Bani Israel masih dijadikan hamba abdi mereka.


7) Akhirnya Allah Swt membalas mereka dengan menenggelamkan mereka dilaut oleh sebab mereka zalim , lalai dengan kemewahan dan mendustakan seruan dakwah Nabi Musa dan Harun.


8) Kesimpulannya

Dari apa yang dikisahkan diatas adalah amat terserlah sekali sikap takabbur Firaun kepada Allah Swt  . Beliau bukan sahaja tidak mahu beriman kepada Tuhan , malahan beliau sendiri mengaku menjadi tuhan  yang berkuasa melakukan apa saja termasuklah menzalimi  Nabi Musa dan kaum Bani Israel.

Walau bagaimana  sombongnya Firaun itu, beliau masih tidak dapat menghindarkan diri dan kaumnya dari azab Allah Swt.

Akhirnya raja yang bongkak itu terpaksa meminta pertolongan kepada orang-orang soleh seperti Nabi Musa dan Harun untuk  berdoa kepada Allah Swt supaya semua azab yang menimpa mereka dipulihkan. 

Inilah keadaan yang berlaku dari dahulu sehingga kehari ini iaitu apabila sesuatu negeri itu ditimpa musibah besar seperti pandemik penyakit ,  maka para pemimpin meminta orang-orang yang soleh dan rakyat jelata berdoa  supaya musibah atau penyakit itu dipulihkan oleh Allah Swt. 

Biasanya manusia yang  angkuh dan sombong itu hanya ingat kepada Tuhan tatkala mereka dilanda musibah .

Setelah semua musibah itu diangkat dan keadaan negeri  mereka menjadi mewah dan  senang , mereka itu terutama para pemimpin negeri  kembali lalai dan terus membiarkan perkara-perkara yang ditegah Allah Swt  contohnya arak, judi , zina dan maksiat lainnya berluasa dalam negeri.


Semoga perkongsian ini memberikan pengajaran dan iktibar kepada kita umat  Islam masa kini supaya sentiasa bertawaddu’ kepada  kebesaran Illahi  dan mematuhi semua perintahNya.


Wallahua’lam


Rujukan

Tafsir Al-Maraghiy -Jilid 5


MBS

Sampaikanlah daripada ku walaupun satu ayat.  Maksud Hadis

No comments:

Aku, dulu

 Aku dulu, megah dan riak megahnya ilmu kononnya banyak riak dengan amalan, yang terasa begitu banyak Aku dulu, meremeh, meleceh meremeh ilm...