Friday, March 19, 2021

Review Buku: Sang Penguasa

 


Assalamu'alaykum dan salam sejahtera

ok, kini kita kembali kepada siribuku, iaitu review buku. kali ni nak bercerita tentang buku yang menarik bagi peminat-peminat politik, dan even ahli politik sendiri pun. Buku ini adalah asalnya karya Nicollo Machiavelli, dan buku ini diterjemahkan oleh saudara Zamir Mohyedin, dengan syarahan dan ulasan oleh saudara Ayman Rashdan Wong, yang bertajuk:

Sang Penguasa (The Prince)

Ok, buku ini adalah karya Machiavelli, dan di dalamnya, Machiavelli merangkumkan, serta merumuskan bagaimana seorang pemerintah patut buat secara "real-politik", dan tidak berharap yang indah-indah, atau mengharap kepada teori yang tidak dibumikan. Ini kerana, real-politic berbeza dengan kefahaman dan teori kepimpinan yang baik, kerana ada unsur-unsur tidak bermoral dan tidak beretika dalam "real-politic"

disclaimer, sebenarnya Machiavelli bukannya "mengajar", tetapi menerangkan keadaan pemerintah berdasarkan sejarah dan kefahamannya berkaitan bagaimana seorang pemerintah boleh kekal berkuasa. 

Buku ini ada beberapa bahagian. Tetapi secara dasarnya, ia menerangkan 3 intipati penting. pertamanya adalah jenis-jenis kerajaan yang ada (pada ketika itu), keduanya berkenaan pemerintah, dan ketiganya adalah apa yang pemerintah perlu laksanakan, untuk berkuasa, dan kekal berkuasa. 


Intipati Pertama: Kerajaan dan jenisnya

Ok, intipati pertama, iaitu jenis-jenis kerajaan. dalam buku ini, Machivelli menerangkan ada 4 jenis kerajaan. Pada awalnya, penulis menyatakan ada 2 jenis kerajaan, iaitu kerajaan monarki dan republik. kemudiannya penulis menambah kerajaan agama (ketika itu kerajaan Pope)  dan kerajaan demokrasi (kerajaan rakyat) pada bab-bab lain. Selain itu, penulis juga menegaskan berkenaan kerajaan yang baru, tidak kira dari mana-mana jenis kerajaan, perlu pemerintah yang baik, untuk terus berkuasa.

Antara cara mempertahankan penguasaan bagi pemerintah baru, berdasarkan sejarah yang dikaitkan dalam buku ini, adalah, pemerintah baru, perlu membuat beberapa perkara, antaranya menghapuskan seluruh kerabat atau penguasa yang lama, perlu menghantar pasukan koloni ke daerah-daerah baru dikuasai, bekerjasama dengan pemerintah (menteri2) daripada kerajaan lama, atau kawasan koloni mereka, dan juga memastikan "wakil" atau "penguasa" koloni tidak mempunyai lebih pengaruh berbanding dirinya. 


Intipati kedua: Penguasa

Seterusnya, penulis banyak menerangkan berkenaan pemerintah. Kebiasaannya, pemerintah yang baik, memerlukan kepada 2 perkara penting, iaitu virtu dan fortuna. Virtu adalah kecekapan/kemahiran memerintah, manakala fortuna pula adalah tuah. Tanpa kedua-dua perkara ini, sukar pemerintah untuk mendapat kekuasaan, dan kekal berkuasa. Tanpa tuah, walaupun cekap, kita mungkin dikalahkan oleh mereka yang mempunyai lebih tuah. Dengan tuah, tetapi tidak cekap, kita juga tidak akan kekal, dan akan dijatuhkan oleh orang lain, malah orang terdekat dengan kita.

Selain itu, penulis juga menyatakan bahawa, untuk pemerintah kekal lama, dia perlu mempunyai angkatan tentera yang kuat. Lebih-lebih lagi angkatan tentera sendiri. Selain angkatan tentera sendiri, pemerintah boleh juga mendapatkan beberapa jenis tentera yang lain, antaranya adalah tentera bantuan (dari kerajaan lain), dan tentera upahan (mengupah tentera dari pihak berkecuali). Akan tetapi, tentera jenis kedua-dua ini, mempunyai risiko yang lebih besar, yang mana tentera bantuan dan tentera upahan boleh berpaling tadah, jika pemerintah lain memberikan "arahan" atau ganjaran yang lebih baik. 

Selain itu, berkaitan dengan tentera, pemerintah juga tidak boleh bersikap neutral sekiranya dua negara lain berperang, kerana jika bersikap neutral, mana2 pihak menang dan kalah boleh menyerang pula negaranya. Jika pemerintah menyokong salah satu pihak, dan pihak itu menang, dia akan peroleh kebaikan, dan jika kalah pun, dia tetap akan dibantu oleh pihak yang kalah di masa akan datang. 


Intipati ketiga: apa Penguasa perlu buat

Penulis seterusnya menerangkan apa yang pemerintah perlu ada. Penulis menegaskan yang penguasa ini perlu sentiasa bersedia, perlu ada ilmu ketenteraan, dan sentiasa berlatih. Penguasa juga jangan terlalu idealistik, dan perlu melihat secara realistik. Contoh yang diberikan idealistik adalah idea Plato, atau Aristotle, yang menerangkan bagaimana kerajaan itu adalah kerajaan ideal. akan tetapi, pada hemat Machiavelli, penguasa perlu lebih realistik, dan melihat keadaan, tempat dan masa semasa. 

Machiavelli melihat idealistik vs realistik ini dalam beberapa sudut:

1. baik atau kejam? 
Penguasa perlu berbaik dengan rakyat, atau perlu kejam sekali sekala? atau perlu tunjuk yang dia boleh berlaku kejam sekiranya rakyat tidak mendengar kata/

2. Adil atau tidak adil sepenuhnya?
Pemerintah perlu bersifat adil, dan kadangkala perlu melebihkan satu pihak yang lain. kebiasaannya antara rakyat dan bangsawan. Bila bertemu antara keduanya, penguasa perlu lebihkan sedikit bangsawan, berbanding rakyat. Namun bergantung kepada keadaan dan masa.

3. Pemurah atau kedekut?
Penguasa perlu mengimbangi antara bersikap pemurah kepada rakyat, atau perlu kedekut kepada rakyat, akan tetapi akan memberikan manfaat jangka panjang. Bantuan, duit kepada rakyat perlu diberikan sekali sekala, akan tetapi tidak berterusan, agar duit/bajet itu boleh digunakan untuk kembangkan lagi ekonomi yang lebih besar, atau dalam buku ini, penulis menyebutkan untuk lebihkan dana kempen ketenteraan untuk besarkan kerajaan, dan mendapat lebih banyak cukai lagi.

4. dicintai atau ditakuti?
Penguasa juga perlu bersifat dicintai dan ditakuti oleh rakyat. Dicintai dengan perbuatan-perbuatan baik yang dilakukan kepada rakyat, dan ditakuti agar rakyat tidak melanggar peraturan sehingga membuatkan revolusi atau pemberontakan. Penguasa perlu seimbangkan antara kedua-dua ini. Akan tetapi, jika tidak boleh mengimbangi kedua-dua ini (dicintai dan ditakuti), maka penguasa lebih baik ditakuti, agar lebih banyak keseimbangan dan perkembangan boleh dicapai. Machivelli menegaskan juga, untuk dicintai rakyat, jangan menyentuh harta atau wanita rakyatnya. ini penting bagi mengelakkan revolusi rakyat.

5. menepati janji atau tidak?
Perkara penting terakhir yang dibincangkan oleh Machiavelli adalah, samada penguasa perlu menepati janji atau tidak? Ini terbahagi kepada 2 konteks, satu konteks kerjasama dengan penguasa lain, satu lagi dengan rakyat. Penguasa tidak perlu terlalu naif, dan menepati janji dengan sekutu yang berpaling, kerana sekutu itu sendiri telah tidak menepati janjinya. Oleh itu, penguasa perlu sentiasa berhati-hati dan menyeimbangkan antara menepati janji atau tidak.

Selain penguasa perlu bersifat realistik dan tidak idealistik semata-mata, Machiavelli juga menyatakan penguasa perlu juga bersifat licik seperti musang, dan berani seperti singa. Licik dalam merancang dan melaksanakan pelbagai perkara, agar sentiasa bersedia dengan pihak pembangkang, atau penguasa lain (serangan luaran). Selain itu, penguasa perlu juga bersifat berani seperti singa, dengan menunjukkan siapa yang berkuasa, agar tidak ditikam dari belakang oleh menteri atau rakan-rakan sendiri (serangan dalaman). 

Machiavelli juga menerangkan berkenaan bagaimana untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat yang terdiri daripada rakyat biasa, dan golongan bangsawan. Sokongan daripada rakyat perlu dijaga, supaya penguasa disayangi rakyat. Machievelli menegaskan untuk Penguasa tidak sekali-kali menyentuh harta dan wanita rakyatnya, dan perlu bertindak tegas dengan rakyat biasa, serta mendapatkan sokongan daripada golongan bangsawan. 

Machievelli juga menyatakan antara perkara yang boleh dijadikan asas untuk mendapat sokongan, adalah dengan menunggang agama. Menunggang agama dapat dijadikan sebagai kaedah untuk mendapat reputasi yang baik daripada rakyat biasa. 

Machieveli seterusnya menyatakan untuk penguasa bijak dan cekap (Virtu) dalam memilih barisan menterinya. Penguasa perlu melantik menteri yang pandai melaksanakan tugas, sentiasa memikirkan kepentingan penguasa, dan tidak melebihkan kepentingan peribadi (kepentingan menteri sendiri). Sekiranya Penguasa membiarkan menteri mendapat lebih sokongan, ada kemungkinan menteri itu akan menjatuhkannya di kemudian hari. Selain itu, Penguasa juga memerlukan pendapat dan idea dari menterinya, tapi bukan pada setiap masa. dan Penguasa juga tidak perlu mengikut nasihat yang diberikan, dengan membuat keputusan sendiri. Penguasa perlu bijak memilih keadaan, agar menterinya tahu bila masa boleh memberi pendapat, dan bila masa tidak perlu memberikan pendapat

Akhir bab daripada buku ini, Machievelli mengharapkan agar Itali dapat bersatu, dan bebas dari penjajahan bangsa lain. 


======================================

Seterusnya, bila review, kita akan melihat apa yang saya personally suka, dan tidak suka. Yang saya kurang gemar, adalah ayat2 dalam terjemahan secara terus oleh saudara Zamir, agak sukar difahami. Sebab ianya perlu diterjemahkan dengan baik, serta tidak menghilangkan nilai-nilai dan isi sebenar buku The Prince versi asal. Mungkin disebabkan gaya bahasa zaman dahulu, jadi ianya lebih bersastera dan tidak boleh difahami secara terus. 

dan ini membawa kepada apa yang saya suka, iaitu syarahan dan penerangan secara ringkas oleh Saudara Ayman. Syarahan yang ditulis, dapat merumuskan, dan meningkatkan kefahaman daripada terjemahan yang telah dibuat. Lebih-lebih lagi, saudara Ayman juga memahami berkenaan Perhubungan Antarabangsa (International Relationship), jadi lebih mudah dia mengaitkan antara perkara yang terjadi dengan isu yang diketengahkan. 


ok, rasanya itu sahaja kot, apa yang boleh di-riview daripada pembacaan saya. Mungkin ada yang terlari sikit, sebab saya orang luar bidang, kalau betul Alhamdulillah. kalau tersilap, maafkan jela...


ok itu sahaja, kita jumpa lagi dalam post akan datang!


regards

No comments:

Aku, dulu

 Aku dulu, megah dan riak megahnya ilmu kononnya banyak riak dengan amalan, yang terasa begitu banyak Aku dulu, meremeh, meleceh meremeh ilm...