Friday, March 19, 2010

Pelaburan berjumlah RM1 bilion oleh Syarikat Coca Cola di Malaysia.

Assalamualaikum wrt bth

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Kenyataan dan Pendirian Rasmi PACE: Pelaburan berjumlah RM1 bilion oleh Syarikat Coca Cola di Malaysia.


PACE merakamkan rasa dukacita terhadap pelaburan berjumlah RM1 bilion oleh Syarikat Coca-Cola di Malaysia. Syarikat Coca-cola akan mendirikan kilangnya di atas tanah yang dibeli daripada TH (Tabung Haji) Properties di Nilai, Negeri Sembilan dan upacara pecahtanahnya telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Hj Abdul Razak pada 15 Mac 2010.


Lebih meresahkan lagi perkembangan ini berlaku di saat-saat Masjid al-Aqsa dikepung dan pihak Zionis Israel terus mengancam keselamatan Masjid al-Aqsa dengan mengumumkan perasmian kuil Hover di persekitaran kejiranan Masjid. Tindakan regim Zionis ini jelas merupakan provokasi terancang sedang di masa yang sama rakyat Palestin di bawah umur 50 tahun dihalang dari memasuki masjid al-Aqsa yang berada beberapa ratus meter sahaja dari kuil tersebut.

Mungkin orang ramai akan bertanya apa hubungkait di antara pembukaan kilang Coca-cola di Malaysia dengan ketegangan yang berlaku di Baitul Maqdis timur dan di Masjid al-Aqsa. Dua perkembangan ini saling berkaitan kerana Syarikat Coca-cola telah dikenal pasti sebagai penyokong kuat kepada ekonomi Israel dan kewujudan entiti haram Yahudi Zionis yang merampas negara Palestin dan mengusir rakyatnya keluar. Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia berhak untuk menentukan dasar dan pendiriannya tanpa di pengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Namun Malaysia telah mempertahankan dasar luar yang konsisten terhadap penubuhan negara haram Israel sejak mencapai kemerdekaan iaitu tidak akan mengiktiraf entiti haram tersebut, meskipun Israel adalah negara anggota penuh PBB. Berdasarkan kepada hakikat ini, tindakan membenarkan Syarikat Coca-cola melabur dan membina kilang pembotolan produk minumannya di sini adalah sesuatu yang bercanggah dengan prinsip yang dipertahankan sekian lama. Oleh kerana Syarikat Coca-cola menyokong ekonomi Israel secara terbuka maka mereka bersekongkol dengan regim Zionis yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Membenarkan kilang syarikat Coca-cola beroperasi di bumi Malaysia boleh memberi implikasi merestui regim Zionis yang bertindak sebagai negara penyangak yang tidak pernah akur kepada undang-undang antarabangsa dan menghormati hak asasi rakyat Palestin.

Sokongan Coca-cola kepada Israel bukanlah berdasarkan dakwaan semata-mata bahkan terdapat dokumentasi lengkap mengenai penglibatan Syarikat Coca-cola di dalam membangunkan ekonomi Israel sejak tahun 1966. Pada tahun 1997, misi ekonomi Kerajaan Israel telah memberi penghargaan kepada Syarikat Coca-cola dalam majlis Penganugerahan Perdagangan Israel atas sokongan berterusan syarikat itu terhadap Israel selama 30 tahun dengan mengabaikan seruan boikot Israel oleh Liga Arab. Pada tahun 2002 Syarikat Coca-cola membuka kilang di atas tanah rakyat Palestin yang dirampas di Kirvat (Qiryat) Gat dalam negara Palestin yang dijajah. Berita ini dilaporkan di dalam akhbar rasmi Israel Haaretz pada 19 Julai 2002. Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Ha'aretz pada 18 Oktober 2005, Coca-cola meningkatkan pelaburannya di Israel dengan menguasai 51% saham dalam Tavor Winery, sebuah syarikat pembuat arak di Israel. Ini hanyalah sebahagian dari rekod cemerlang Coca-cola di dalam menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Zionis Israel.

Fakta-fakta ini adalah hakikat yang tidak mungkin disanggah tentang betapa eratnya hubungan yang terjalin di antara Syarikat Coca-cola dan entiti haram Israel.

PACE dengan ini mengambil pendirian berikut:

1. PACE memohon agar Kerajaan Malaysia mengkaji semula keputusan untuk membenarkan Syarikat Coca-cola melabur dan membuka kilang operasinya di Malaysia.

2. PACE juga memohon agar TH (Tabung Haji) properties tidak melabur atau terbabit dengan transaksi perniagaan yang meragukan kerana Tabung Haji terlibat secara langsung di dalam menjana pendapatan untuk urusan pengendalian jemaah Haji rakyat Malaysia. PACE mengajak semua pihak supaya prihatin dengan perkara ini kerana secara simboliknya ziarah, umrah dan ibadah haji ke tanah suci Makkatul Mukarramah tidak sewajarnya membawa kepada keruntuhan satu lagi tanah suci, masjid al-Aqsa al-Haram as-Syarif di Baitul Maqdis.

3. PACE menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama supaya menyahut seruan boikot barangan Israel yang kini sedang berkumandang di seantero dunia. PACE menyokong kempen BDS (Boikot, Divestment and Sanctions - Boikot, pengalihan pelaburan dan sekatan) ke atas Israel yang diterajui oleh VPM (Viva Palestina Malaysia - sebuah koalisi NGO yang menganjurkan kempen boikot ke atas empat produk utama yang menyokong Israel iaitu Coca-cola, McDonald, L'oreal dan Nestle). PACE menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengutamakan produk tempatan dan hanya membeli produk luar khususnya produk Amerika Syarikat apabila perlu sahaja dan sebagai pilihan yang terakhir.

4. PACE akan terus menyokong Kerajaan Malaysia yang secara konsisten mempertahankan dasar tidak mengiktiraf Israel dan sentiasa peka dengan penderitaan rakyat Palestin dengan membangkitkan hak mereka di pelbagai forum antarabangsa terutama di Persidangan Agung PBB dan OIC.

5. PACE berdoa dan mengharapkan negara Malaysia akan terus dilimpahi dengan rezeki yang melimpah ruah dan penuh keberkatan dari Allah SWT.

Prof Madya Dr Hj Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE
(Pusat Kecemerlangan Palestin)

1 comment:

Unknown said...

boo coke.

Aku, dulu

 Aku dulu, megah dan riak megahnya ilmu kononnya banyak riak dengan amalan, yang terasa begitu banyak Aku dulu, meremeh, meleceh meremeh ilm...