Friday, February 12, 2021

Tazkirah Ringkas: Huraian apa itu Al-A'raf

 

Assalamu'alaykum, 

jadi hari ini, saya akan berkongsi sedikit tazkirah yang diberikan oleh MBS, iaitu berkaitan dengan Al-A'raf. semoga ianya menjadi sedikit manfaat buat penulis asal. 

==============================================

Assalamualaikum


Perkongsian Ilmu Dari Al-Quran


SEDIKIT HURAIAN  APAKAH ITU    AL-A’RAF ?

—————————————- 

Firman Allah Taala dalam surah Al-A’raf dari ayat 44 hingga 47 menyebutkan:


وَنَادَىٰ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ أَصْحَابَ النَّارِ أَن قَدْ وَجَدْنَا مَا وَعَدَنَا رَبُّنَا حَقًّا فَهَلْ وَجَدتُّم مَّا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا قَالُوا نَعَمْ فَأَذَّنَ مُؤَذِّنٌ بَيْنَهُمْ أَن لَّعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ


Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: "Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?". Mereka menjawab: "Benar ada". Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: "Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim".


الَّذِينَ يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا وَهُم بِالْآخِرَةِ كَافِرُونَ


Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut jalan Allah, dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang mereka pula tidak percayakan hari akhirat.


وَبَيْنَهُمَا حِجَابٌ وَعَلَى الْأَعْرَافِ رِجَالٌ يَعْرِفُونَ كُلًّا بِسِيمَاهُمْ وَنَادَوْا أَصْحَابَ الْجَنَّةِ أَن سَلَامٌ عَلَيْكُمْ لَمْ يَدْخُلُوهَا وَهُمْ يَطْمَعُونَ


Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok "Al-A'raf”  (yang  menjadi) pendinding, dan di atas tembok Al-A’raf   itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): "Salaamun Alaikum" (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.


وَإِذَا صُرِفَتْ أَبْصَارُهُمْ تِلْقَاءَ أَصْحَابِ النَّارِ قَالُوا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ


Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim".


Surah Al-A’raf 7:44-47


(Ayat-ayat diatas telah ditadabburkan dalam program 

My#QuranTime di TV Al Hijrah)


          ^^^^^^^^^^^^^^^^^


Berikut adalah sedikit nota mengenai “Al-A’raf”  :


1) A’raf adalah jama’ dari perkataan urf . Semua permukaan yang tinggi menurut bangsa Arab di panggil urf. (Istilah urf ini juga digunakan bagi balung ayam jantan kerana ianya terletak pada tempat yang teratas ).


2) Digambarkan oleh  ulama’ tafsir bahawa  diantara syurga dan neraka itu terdapat pembatas iaitu tembuk yang menghalangi ahli neraka masuk ke syurga. 

Didalam surah Al-Hadid 57:13 menceritakan terdapat dinding yang ada pintu - didalamnya ada rahmat dan diluarnya ada siksa. Itulah sebabnya A’raf itu dianggap seperti pagar pembatas antara syurga dan neraka.


Maksud Ayat 

(Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman: "Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu". (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): "Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)", serta diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa. Al-Hadid 57:13


3) Penghuni A’raf mengenali semua penghuninya melalui tanda-tanda yang ada pada mereka .Diantaranya disebutkan dalam surah Abasa 80:38-41. Ada diantaranya muka  yang gelap  (berdebu) dan ada yang mukanya sangat berseri-seri.


Maksud Ayat

Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri,

Tertawa, lagi bersuka ria;

Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu,

Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. 

Surah Abasa 80:38-41


4) Dikatakan mereka itu adalah dari golongan yang percaya kepada agama Tauhid (Tuhan Yang Esa). Mereka itu dikatakan sama banyak bilangan pahala kebaikannya dan juga dosa keburukannya. Keburukannya menahan dia masuk syurga, manakala kebaikannya menahan mereka masuk keneraka. Oleh itu mereka dihentikan diatas pagar, sehinggalah Allah Swt memutuskan nasib masing-masing. Mereka yang diampunkan Allah akan diterima masuk kesyurga.


5) Penghuni-penghuni  A’raf apabila terpandang kepada penduduk neraka , mereka pun berdoa “Wahai Tuhan kami , janganlah Engkau tempatkan kami bersama kaum yang zalim.”


6) Apabila mereka terlihat penghuni syurga mereka mengucapkan “salam” . Mereka belum dapat memasukinya tetapi mereka menaruh  harapan yang tinggi ingin masuk syurga dengan kadar segera.


Kesimpulan:

Demikianlah gambaran dari al-Quran mengenai nasib mereka yang menjadi penghuni Al A’raf . 

Kita berdoa dipermudahkan  oleh Allah Swt supaya kita menjadi Ahlul Jannah .

Teruskanlah beristiqamah menjadi orang mu’min yang bertakwa dan beramal soleh ikhlas kerana Allah Swt.


Wallahua’lam


Rujukan

Tafsir Ringkas Ibnu Katsir -Jilid 3

Tafsir Al-Maraghiy - Jilid 4


MBS

Sampaikanlah Daripadaku Walaupun Satu Ayat - Maksud Hadis

No comments:

Aku, dulu

 Aku dulu, megah dan riak megahnya ilmu kononnya banyak riak dengan amalan, yang terasa begitu banyak Aku dulu, meremeh, meleceh meremeh ilm...