Perkongsian Ilmu Dari Al Quran
DERAJAT MANUSIA ADALAH BERDASARKAN AMAL SOLEH YANG DILAKUKAN
—————————————-
Firman Allah Taala
وَلِكُلٍّ دَرَجَاتٌ مِّمَّا عَمِلُوا وَمَا رَبُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ
Dan bagi tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan; dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan.
وَرَبُّكَ الْغَنِيُّ ذُو الرَّحْمَةِ إِن يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَسْتَخْلِفْ مِن بَعْدِكُم مَّا يَشَاءُ كَمَا أَنشَأَكُم مِّن ذُرِّيَّةِ قَوْمٍ آخَرِينَ
Dan Tuhanmu Maha Kaya, lagi Melimpah-limpah rahmatNya. Jika Ia kehendaki, nescaya Ia binasakan kamu dan menggantikan sesudah (binasanya) kamu dengan sesiapa yang dikehendakiNya, sebagaimana Ia telah menjadikan kamu dari keturunan kaum yang lain.
إِنَّ مَا تُوعَدُونَ لَآتٍ وَمَا أَنتُم بِمُعْجِزِينَ
Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepada kamu (hari kiamat dan balasannya) tetap akan datang, dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan itu).
Surah Al-An’am 6:132-134
(Ayat-ayat diatas telah ditadabbur dalam My#QuranTime di TV Al Hijrah - Baca , Faham dan Amal)
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Berikut adalah beberapa nota tambahan :
1) Setiap manusia yang mengerjakan amalan (ketaatan atau kemaksiatan) kepada Allah Swt akan memperolehi martabat atau kedudukan yang tertentu, hasil daripada amalan yang mereka lakukan itu akan diterima ganjarannya daripada Allah Swt.
Amalan baik menerima ganjaran yang yang baik , manakala amalan yang buruk menerima balasan yang buruk dari Allah Swt.
2) Tuhanmu tidak sekali-kali lalai dengan apa yang mereka kerjakan. Ini kerana setiap perbuatan yang mereka lakukan sudah pasti diketahui oleh Allah Swt dan Dia hitung setiap perbuatan mereka dengan memberikan balasan yang sewajarnya kepada mereka.
3) Ayat ini mengandungi petunjuk, sesungguhnya punca kebahagiaan dan kesengsaraan adalah berdasarkan kepada amal perbuatan dan pilihan manusia itu sendiri . Sekiranya Allah Swt menghendaki , maka boleh saja manusia itu ikuti ajaran dan petunjuk Nabi Saw dan para solihin sehingga tergolong kedalam golongan orang yang taat , lalu dia mengerjakan amal yang terbaik dalam hidupnya. Allah Swt pula memberikan pahala yang terbaik kepadanya.
4) Kalau Allah Swt menghendaki , seseorang itu mampu terhindar dari jalan agamaNya dengan melakukan jalan kesesatan. Akhirnya dia tegolong kedalam golongan yang sengsara hidupnya didalam neraka bersama mereka yang sesat dan para tentera iblis.
5) Allah Swt Tuhanmu Yang Maha Kaya dan Maha Sempurna, Dia yang mempunyai rahmat yang menyeluruh dan melengkapi segala sesuatu. Ini kerana segala sesuatu selain daripada Allah amat bergantung kepadaNya berdasarkan fitrah kejadian manusia itu sendiri . Ingatlah bahawa setinggi mana pun kekuasaan dan kekayaan seseorang itu , dia masih bergantung kepada bantuan orang lain untuk meneruskan hidup sehariannya termasuklah para pemimpin atau pemerintah tertinggi sesebuah negara , yang amat terbatas kemampuan lahiriah mereka.
Mereka juga sangat bergantung kepada penciptaNya untuk terus bernafas dan hidup seharian , sepertimana yang disebutkan dalam firmanNya
يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَنتُمُ الْفُقَرَاءُ إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ
(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Surah Fatir 35:15
6) Meskipun Allah Swt menyempurnakan hajat dan keinginan para hambaNya, namun Dia juga telah memberikan amaran bahawa sesiapa yang menentang perintanNya (setelah menerima seruan atau petunjuk dari RasulNya) maka Allah Swt akan menurunkan balasan azab sebagaimana diturunkan kepada umat terdahulu yang ingkar, takabbur dan menentang ajaranNya.
7) Sesungguhnya janji-janji Allah Swt mengenai balasan syurga dan neraka itu adalah benar dan manusia tidak boleh lari daripadanya.
Manusia , setinggi mana sekalipn ilmunya tidak dapat menolak hakikat kekuasaan Allah Swt seperti yang dinyatakan dalam firmanNya yang berikut
سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ
Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?
Surah Fussilat 41:53
8) Kesimpulannya
i) Ketahuilah derajat manusia disisi Allah Swt adalah diukur berdasarkan nilai ketakwaan seseorang kepada Allah Swt. Dia tidak melihat pada asal keturunan dan warna kulit seseorang . Perkara ini sudah biasa disebutkan dalam masyarakat kita melalui firmanNya
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
Surah Al Hujurat 49:13
ii) Amalan seseorang hamba Allah itu dinilai olehNya berdasarkan niatnya yang ikhlas dalam perlakuan sehariannya . FirmanNya
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.
Surah Al-Bayyinah 98:5
iii) Allah Swt adalah Maha Adil dalam membalas amal perbuatan yang dilakukan oleh para hambaNya didunia ini bersesuaian dengan janjiNya yang berikut ini
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Surah Al Zalzalah 99:7-8
Semoga perkongsian yang amat sederhana diatas dapat dijadikan renungan dan muhasabah diri kita bersama diakhir tahun 2020 ini.
Didoakan tahun hadapan penuh kesejahteraan buat diri kita , keluarga dan negara seluruhnya.
Wallahua’lam
Rujukan
Tafsir Sheikh Mustaffa Al-Maraghiy - Jilid 4
MBS
No comments:
Post a Comment