Assalamu'alaykum
orait, kembali kepada siri tazkirah ringkas, kali ini berkenaan, sebab kenapa surah At-Taubah tidak dimulai dengan bacaan bismillah.
===============================
#TAZKIRAH RINGKAS
Assalamualaikum Wr Wb
Perkongsian Ilmu Dari Al-Quran
KENAPA SURAH AT-TAUBAH TIDAK DIMULAI DENGAN BISMILLAH
————————————————
Firman Allah Ta’ala
بَرَاءَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى الَّذِينَ عَاهَدتُّم مِّنَ الْمُشْرِكِينَ
(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka).
At-Taubah 9: 1
Surah ini dinamakan At-Taubah yang bererti pengampunan , mengambil sempena nama ‘at-taubah’ berulang kali disebut dalam surah ini.
Dinamakan juga dengan panggilan Baraah yang bererti “berlepas diri” yang bermaksud pernyataan putus perhubungan, disebabkan kebanyakan pokok perbicaraannya tentang pernyataan pemutusan janji perdamaian dengan kaum musyrikin Makkah.
Adapun persoalan surah ini tidak dimulai dengan bismillah , ianya adalah disebabkan para sahabat tidak menuliskannya diawal surat pada ‘mushaf al-imam’ (induk) dan mereka dalam hal ini mengikuti apa yang dibuat oleh Khalifah Utsman bin Affan Ra.
Ayat pertama dari surah ini diturunkan kepada Nabi Saw setelah baginda dan para sahabat kembali dari perang Tabuk.
Kemudian sampai berita kepada mereka bahawa ditahun itu kaum musyrikin akan menghadiri musim haji dan akan melakukan tawaf dalam keadaan telanjang sebagaimana kebiasaan mereka. Sebab itu Nabi Saw tidak suka bersama dengan mereka dalam mengerjakan haji.
Baginda mengutuskan Saydina Abu Bakar Ra pada tahun tersebut sebagai ketua rombongan (amirul haji) untuk membimbing manasik haji mereka dan membuat perisytiharan kepada pihak musyrikin bahawa setelah tahun itu mereka tidak diperbolehkan melakukan ibadah haji.
Setelah Saydina Abu Bakar kembali, baginda mengutuskan semula Saydina Ali bin Abi Talib Kw supaya menyampaikan pesan-pesan dari Nabi Saw.
Permulaan surah ini adalah sangat tegas bunyinya iaitu mengandungi perisytiharan pemutusan hubungan dari Allah dan RasulNya kepada pihak musyrikin. Orang musyrikin diberi tempoh empat bulan bebas tawaf di Kaabah dengan syarat tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Nabi Saw termasuklah bertawaf dalam keadaan berbogel , menari dan bersiul . (Perkara ini ditegaskan dalam ayat 1-6 surah At-Taubah).
Tempoh empat bulan ini menunjukkan bahawa Nabi Saw adalah sangat toleran dengan memberikan tempoh yang mencukupi supaya orang musyrikin berfikir secukupnya samada menerima Islam secara aman atau meneruskan pemusuhan terhadap Nabi Saw dan bersedia menerima tentangan dari puak muslimin .
Semoga perkongsian ringkas ini mendatangkan manfaat kita bersama.
Wallahua’lam
Rujukan
Sahih Tafsir Ibnu Katsir - Jilid 4
MBS
(Sampaikan daripada ku walaupun hanya satu ayat - Maksud Hadis )
No comments:
Post a Comment