Assalamu'alaykum,
Khutbah pada 9 Mei 2014 telah membincangkan berkenaan tajuk melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh.
Untuk memastikan diri kita menjadi hamba Allah yang sebenar, ia bergantung kepada amalan yang kita lakukan. Segala amalan zahir dan batin menuntut kepada keikhlasan. Amalan ibadah ini, bukanlah hanya kepada ibadah yang khusus sahaja, bahkan dalam setiap kehidupan sebagai manusia, iaitu hubungan dengan sesama manusia, hubungan dengan haiwan, tumbuhan dan lain-lain.
Amalan ibadah zahir yang kita lakukan, seperti solat, sedekah dan lain-lain, tidak sempurna selain dilakukan dengan ikhlas. Hati orang-orang yang ikhlas akan sentiasa mengingati Allah setiap masa. Contohnya ketika solat, mengingat Allah dan tahu Allah akan menghisabnya.
Sekiranya kita beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, maka amalan-amalan harian, kerja dunia kita juga akan menjadi bersungguh-sungguh. Islam menitik beratkan budaya kerja yang cemerlang. Umat Islam perlu menjadi umat yang bermutu. Itqan, iaitu bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan.
Sabda Nabi s.a.w diriwayatkan oleh Aisyah r.a, Sesungguhnya Allah mencintai hambaNya yang melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh.
Setiap amalan yang bersungguh-sungguh merupakan kerja yang dicintai ALlah, perbuatan yang disukai ALlah adalah perbuatan yang diredhaiNya.
Lawan kepada sifat bersungguh-sungguh adalah malas, membuat sambil lewa, cuai, suka bertangguh-tangguh, dan mencari-cari alasan. Ini akan menghasilkan hasil kerja yang tidak berkualiti walaupun ianya tidak dinilai oleh manusia, kerana ianya akan tetap dinilai oleh Allah s.w.t.
Melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh adalah bukti iman kita, dan sifat yang akan dinilai samaada amal diterima atau ditolak oleh Allah s.w.t.
wallahu'alam. moga ada manfaatnya
No comments:
Post a Comment